Galian-galian penting untuk Pesakit Diabetis
Banyak sekali kajian-kajian ke atas pesakit kencing manis yang melaporkan bahawa pesakit diabetis, menggunakan dan mengumuhkan galian-galian pada keadaan yang berbeza daripada orang lain. Apabila tahap glukos dalam darah meningkat, pesakit akan kencing dengan kerap dan banyak(isipadu). Ini menyebabkan kehilangan galian-galian penting (vital) dari badan, antaranya ialah Magnesium, Zink, dan Kalium.
Zink adalah sangat penting dalam mengawal glukos dalam darah dan tindakan insulin. Zink diperlukan dalam pembentukan insulin itu sendiri. Kehilangan kalium, K, mengakibatkan kelemahan otot-otot terutamanya otot jantung.
Galian-galian seperti Chromium dan Vanadium memiliki kesan istimewa ke atas kawalan glukos dalam darah disamping membantu mengawal berat badan dan menurunkan tahap kolestrol dalam darah. Setiap orang mesti faham bahawa galian-galian membantu banyak tindakbalas kimia dalam badan. Justeru, kekurangan galian menggugat pelbagai sistem badan, antaranya jantung, otak dan sistem penghadaman.
Diabetes mellitus, pra-diabetik dan Sindrom X metabolik dikenalpasti sebagai faktor-faktor risiko kepada osteoporosis (penipisan dan kerapuhan tulang). Justeru itu, penambahan galian melalui diet amat penting bagi mereka yang mengalami 3 masalah di atas.
Kajian-kajian ke atas diet rakyat Malaysia mendapati purata rakyat negara ini mengalami satu atau beberapa defisiensi galian-galian penting untuk tubuh badan.
Pesakit Daibetis lebih terdedah kepada kehilangan nutrien yang amat diperlukan badan disebabkan beberapa faktor;
- Pesakit diabetis terpaksa memilih makanan dan minuman (pantang) dan menu yang terhad menyebabkan mereka bertambah sukar mendapat nutrien optima yang diperlukan untuk fungsi-fungsi badan yang sihat.
- Pesakit diabetis mungkin mengumuh vitamin-vitamin larut-air lebih daripada biasa dan penyakit diabetes itu sendiri mengakibatkan keadaan di mana tubuh badan menggunakan vitamin-vitamin tertentu secara berlebihan dalam proses-prosesnya. Kekurangan vitamin-vitamin mengakibatkan pelbagai gangguan dan masalah, justeru menerukkan lagi komplikasi diabetes yang telah sedia ada.
Vitamin Penting untuk Pesakit Diabetis
Vitamin B kompleks amat penting untuk memproses makanan menjadi tenaga dengan betul lagi cekap. Vitamin-vitamin antioksidan seperti C dan E diperlukan dengan banyak oleh pesakit diabetis untuk mengatasi tekanan oksidatif (oxidative stress) yang menyebabkan kerosakan tisu-tisu.
Kita mengetahui bahawa setiap satu daripada vitamin-vitamin penting untuk fungsi badan kita. Penyakit berlaku apabila vitamin-vitamin tidak mencukupi. Walaubagaimanapun, perlu diingatkan bahawa sepertimana vitamin, galian-galian juga sangat penting untuk tubuh badan yang sihat.
Vitamin berfungsi mengawal keperluan sesuatu galian dalam proses-proses tubuh badan. Dalam keadaan kekurangan garam galian, vitamin-vitamin bagaikan tiada fungsi untuk dilakukan. Jika badan kekurangan vitamin, sistem badan masih mampu menggunakan galian-galian tetapi dalam hal keadaan kekurangan galian, vitamin menjadi tidak berguna.
Sebagai langkah menangani kekurangan galian yang keterlaluan hari ini yang mengakibatkan kita mudah terdedah kepada penyakit, adalah dinasihatkan supaya galian-galian ditambahkan melalui diet harian. Tubuh badan yang dibekalkan dengan galian-galian yang mencukupi dapat membangunkan imuniti daripada jangkitan dan serangan penyakit.
MAHADI BIN ARIFIN, R Ph 747